Istilah probiotik berasal dari bahasa Yunani, yang bererti “untuk kehidupan”. Mengikut definisi Organisasi Pemakanan & Pertanian (FAO) dan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO), probiotik adalah mikroorganisma yang memberi manfaat kesihatan apabila dimakan dalam kuantiti mencukupi.
Sistem gastrousus kita bukan sahaja mengandungi bakteria baik (Probiotik) tetapi juga bakteria jahat (berbahaya dan membawa mudarat). Terdapat 400 jenis bakteria dan hampir 100 trilion bakteria hidup di dalam sistem gastrousus kita. Kita memerlukan bakteria baik untuk menghalang atau mengehadkan pertumbuhan bakteria jahat yang tidak dikehendaki yang hidup di dalam tubuh kita.
Kebanyakan kita pernah mengalami masalah sembelit atau pembuangan air besar yang tidak lancar. Antara punca utama adalah kurangnya pengambilan serat (sayur-sayuran & buah-buahan) dalam pemakanan harian, kurang minum air, keseimbangan mikroflora usus terganggu, akibat kekurangan probiotik penyalahgunaan ubat laksatif/antibiotik, kekurangan aktiviti fizikal , dan mengalami tekanan emosi yang besar.
Bakteria bermanfaat ini juga didapati mampu bertahan dengan persekitaran asid (asid perut) dan hempedu serta merembeskan bakteriosin untuk melawan jangkitan. Probiotik berupaya untuk menghalang/mengelak patogen berbahaya seperti bakteria dan yis berbahaya daripada mengkoloni usus yang akan menimbulkan gejala seperti kembung perut, angin, ketidakcernaan, sembelit, cirit-birit, alahan makanan dan melemahkan sistem keimunan badan. Kajian juga menunjukkan pengambilan probiotik boleh membantu mengawalatur pergerakan usus. Justeru, dapat melancarkan proses pembuangan air besar.
Probiotik bukan sahaja telah dibuktikan secara saintifik dapat membantu menggalakkan keseimbangan semula jadi antara bakteria baik dan jahat serta menyokong sistem penghadaman, malahan dapat meningkatkan kandungan khasiat dan bioketersediaan nutrien.
Di samping itu, kehadiran prebiotik, iaitu sumber makanan kepada probiotik juga sangat penting dalam menentukan keterushidup bakteria bermanfaat dalam sistem gastrousus kita. Prebiotik adalah diekstrak daripada akar cikori dan terdapat banyak bukti saintifik yang menunjukkan hasil positif inulin terhadap probiotik dan insulin. Formulasi gabungan prebiotik dengan probiotik dikenali sebagai simbiotik dan ia adalah selamat untuk kita semua termasuk kanak-kanak.
Pengambilan simbiotik dapat menpercepatkan kestabilan bakteria bermanfaat dalam sistem pencernaan serta meningkatkan sistem pertahanan kita supaya tidak mudah diangkiti penyakit yang diakibatkan oleh ketidakseimbangan mikroflora dalam usus.
Kebaikan yang diperolehi daripada simbiotik menggalakkan pemulihan status pemakanan dan sistem pertahanan badan. Hal ini secara tidak langsung dapat mempertingkatkan tahap kesihatan kita serta prestasi kita pada setiap hari.
Tuesday, July 15, 2008
Subscribe to:
Comments (Atom)